Cinta Si Wedding Planner satukan Mira-Adi Putra

Monday 25 January 2016

Assalamualaikum..

google

DRAMA bersiri Cinta Si Wedding Planner semakin mendapat perhatian penonton slot Akasia di TV3.

Di sebalik penglibatan Adi Putra, seorang lagi teraju utamanya yang memainkan peranan sebagai Izara Batrisya mula menjadi perbualan peminat seni.
Bukan bersandarkan paras rupa semata, tetapi empunya nama Nur Amirah Filzah Badioezaman berjaya memikat hati penonton kerana personalitinya sebagai seorang perancang perkahwinan menerusi drama bersiri itu.


Berpeluang mendekati pelakon baharu berusia 22 tahun ini, pelakon yang mahu dikenali sebagai Mira Filzah ini meluahkan rasa sangat bersyukur kerana diberi kepercayaan menjadi bintang utama drama bersiri tersebut.

“Cinta Si Wedding Planner telah membuatkan orang mula menyedari kehadiran saya dalam industri ini.
“Kerana itu, saya berterima kasih kepada penerbit sebab sudi mengangkat bakat saya sebagai Izara Batrisya,” katanya kepada Zass.
Jelas Mira, pada awalnya dia memang gementar apabila mendapat tahu akan digandingkan bersama Adi Putra.

“Seperti kita tahu, dia seorang pelakon senior yang sangat berbakat dan hebat.
“Jadi, perasaan risau dan bimbang itu memang ada, banyak perkara saya fikirkan kerana saya tahu penonton akan membandingkan kami.
“Namun, dengan bantuan pengarah dan Adi sendiri, saya cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Ujarnya, sebagai pelakon yang masih hijau, dia gembira kerana Adi Putra mahu bekerjasama dengannya.
“Saya sendiri tertanya-tanya bolehkah dia berlakon dengan saya yang masih mentah dan tiada pengalaman ini?

“Tetapi, apabila tiba waktu penggambaran, semuanya berubah kerana dia seorang yang sangat profesional.
“Malah dia juga bertanggungjawab membuatkan saya selesa berkomunikasi dan bekerja dengannya sepanjang penggambaran drama bersiri ini,” katanya kagum dengan peribadi pelakon KL Gangter itu.
Berkongsi mengenai cabaran menjadi Izara Batrisya pula, katanya, amat sukar memainkan peranan tersebut kerana karakternya sentiasa berubah-ubah.

“Bayangkan 28 episod ini, setiap plot saya akan menjadi orang yang berbeza. Adakala seorang yang tegas, garang, lembut dan pada masa sama, saya terpaksa menjadi perempuan yang lemah dan sentiasa menangis kerana konflik yang dialaminya.
“Bagaimana pun, saya cuba merealisasikan watak tersebut sebaik mungkin sementelah Izara Batrisya sangat jauh dengan diri saya sendiri,” katanya.

Menurutnya, percubaan pertamanya ini juga memerlukan dia banyak bermain emosi.
“Memandangkan watak tersebut bukan seperti saya dalam dunia sebenar, jadi saya sentiasa memastikan saya faham apa yang dimahukan oleh pengarah dalam drama bersiri itu,” katanya.

Impi watak jahat

Memahami kehendak peminat yang menginginkan kelainan dalam diri pelakon kesayangan mereka, kata pengacara Qari Junior ini memberitahu, dia turut mengintai peluang menjadi ‘orang jahat’.

“Memainkan karakter antagonis memang impian saya. Bagi saya, sebagai pelakon versatil, kita perlu melakonkan banyak karakter untuk melihat sejauh mana kemampuan sebagai pelakon.
“Lagi pun, saya mahu mengubah persepsi penonton yang melihat gadis bertudung sebagai orang jahat pula,” katanya.

Bercita-cita melebarkan bakatnya sebagai pengacara, kata Mira, dia berharap dapat dikenali dalam bidang itu lebih jauh.
“Saya memang bermula sebagai pengacara, jadi saya berharap dapat meneruskan bidang ini walau pun bergelar pelakon,” katanya.

Selain Cinta Si Wedding Planner, Mira bakal terlibat dengan dua buah drama terbaharu dan sedang sibuk menjalankan penggambaran.
Pada masa sama, Mira juga terlibat dalam perniagaan tudung dan produk kecantikan miliknya sendiri.



sumber : sini

2 comments